Thursday, April 8, 2010

LAMA TAK UPDATE BLOG NI...

assalamualaikum...

lama tul tok ayah tak update blog ni, insyaallah lepas ni akan cuba update dan mengimarahkan lagi blog tok ayah ni...

terima kasih

Thursday, July 23, 2009

Selesai Pembentangan Penyelidikan...

Alhamdulillah...

syukur ke hadrat Ilahi kerana hari ini dah selesai buat pembentangan penyelidikan dalam Seminar Cabaran Pendidikan Di PKS pada hari ini...

tajuk penyelidikan yang bertajuk "Kajian Pembacaan Surah Al-Fatihah Di Kalangan Pelajar Politeknik kuching Sarawak"...

cadangan dari penyelidikan yang mahukan penubuhan Makmal Pendidikan Islam telah mendapat perhatian dari Pengarah Politeknik Kuching Sarawak dan akan diberi peluang untuk melaksanakan "pilot test" bagi merealisasikan impian bahawa subjek Pendidikan Islam juga memerlukan kemudahan makmal yang khusus bagi proses P & P.

ini kerana dalam makmal tersebut perlu ada alat pandang dengar yang canggih bagi memudahkan pelajar mendalami ilmu agama khususnya dalam pembacaan Al-Quran. Selain itu, perlu juga ada dalam makmal tersebut model-model khusus contohnya model untuk ibadat haji, model untuk pengurusan jenazah dan sebagainya. Di samping itu, perlu ada tempat khusus untuk pelajar mempelajari tayammum dengan disediakan debu yang bersih..

Alhamdulillah, jika projek ini berjaya tok ayah ler yang paling hepi kerana dapat membantu untuk menaik taraf Pendidikan Islam dalam proses P & P...

Tuesday, July 14, 2009

Orang Malaya....

4 bulan berlalu di perantauan demi tugas untuk melatih dan mendidik anak bangsa di bumi Kuching, namun banyak kenangan pahit manit terpaksa ditempuhi memandangkan banyak perbezaaan budaya dan adat masyarakat setempat. contohnya dari sudut pemanduan kenderaan, tersangat berbeza caranya...

pengalaman-pengalaman sebegini kadangkala membuatkan rasa tidak selesa akan tetapi itulah yang harus ditempuh walaupun sering dihina dengan panggilan "orang malaya" dan dianggap orang luar yang membebankan bumi sarawak sehingga ditimbulkan ugutan demi ugutan untuk dihantar pulang dalam tempoh 24 jam dan sebagainya, sedangkan kedatangkan "orang-orang malaya" yang ramai di bumi kenyalang ini disebabkan kekurangan tenaga kerja orang-orang tempatan yang tersangat ketara terutama bagi subjek-subjek agama, jika tenaga tempatan mencukupi tidak perlu "orang-orang malaya" ini datang ke mari.. namun itulah yang tidak difahami. sehinggakan apabila menyatakan persoalan hukum dalam agama pun menjadi masalah di sini, ditimbulkan soal aurat (benda basic dalam agama) pun dikaitkan dengan panggilan orang malaya. mungkin itu senjata terakhir yang boleh digunakan oleh mereka yang kehabisan peluru (arahan pindah serta merta).

persoalan hukum tidak boleh dipermainkan, kerana boleh terjerumus ke lembah murtad dalam agama. contoh yang telah berlaku apabila isu regu campuran dalam badminton ingin dijalankan maka pihak yang mutadayyin menasihatkan agar dimansuhkan regu campuran kerana termasuk dalam bab ikhtilat dan aurat dan hukumnya haram. tapi pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati menyatakan "dalam agama itu tidak boleh ini tidak boleh, kalu gitu tak payah main ler"... kata-kata sebegini boleh merosakkan aqidah dan iman seseorang itu..tapi itulah yang tidak difahami dan apabila ditegur maka dikaitkan dengan "orang malaya" dan "arahan pindah serta merta". itulah senjata terakhir.....

Tuesday, April 7, 2009

Berusaha Menjauhkan Taqlid

Taqlid dari sudut bahasa ialah menggantung kalung di leher. Dari sudut agama taqlid ialah tindakan mengikuti suatu pendapat tanpa mengetahui dalil atau hujah di sebaliknya. Orang yang melakukan taqlid digelar muqallid. Rashid Rida rahimahullah menerangkan:

Taqlid ialah mengikuti pendapat orang yang dianggap terhormat atau terpercaya dalam masyarakat tentang suatu hukum syari‘at Islam tanpa memerhatikan benar atau salah, baik atau buruk, manfaat atau mudarat hukum yang diikuti tersebut.[1]

Dalam konteks bermazhab, taqlid bererti:

Mengikuti pendapat mazhab fiqh Islam atau ajaran berkenaan suatu mazhab fiqh tanpa mengetahui atau memahami dalil, hujah, alasan dan penerangan di sebaliknya.


Hukum Taqlid

Di bab ini terdapat 3 pendapat:

Pertama: Haram bertaqlid. Taqlid hanya dibolehkan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah, tidak kepada sesama manusia setinggi mana sekalipun ilmunya.

Kedua: Wajib bertaqlid. Semua umat Islam wajib bertaqlid kepada salah seorang imam mujtahid kecuali mereka yang mencapai darjat kemampuan untuk berijtihad secara mutlak.

Ketiga: Hukum bertaqlid berbeza-beza bergantung kepada kemampuan setiap individu.


Pendapat yang benar

Pendapat yang dianggap benar ialah pendapat yang ketiga, iaitu hukum taqlid bergantung kepada kemampuan individu. Kemampuan tersebut diukur dari dua sudut:

Pertama:

Kecerdasan akal untuk mengkaji dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah serta hujah para mujtahid sebelumnya.

Berdasarkan kajian tersebut dia mampu mengeluarkan pendapat yang tersendiri (mujtahid mustaqil) atau menguatkan satu pendapat di antara beberapa pendapat yang sedia ada (mujtahid murajjih) atau hanya sekadar mengetahui beberapa pendapat yang sedia ada, khasnya pendapat mazhab ikutannya (mujtahid musta’dil).

Sebaliknya jika dia tidak mampu mengkaji, maka dia hanya mengikut hasil kajian orang lain sambil memerhatikan dalil serta hujahnya (ittiba’) atau jika masih tidak mampu maka dia hanya mengambil pendapat orang tersebut (taqlid) tanpa memerhatikan dalil serta hujahnya.

Kedua:

Kemudahan fizikal seperti sihat anggota badan untuk bergerak mencari rujukan dan mengkajinya. Juga berkemudahan untuk melakukan rujukan seperti memiliki masa yang mencukupi, terdapat perpustakaan yang menyimpan koleksi rujukan ilmiah dengan jarak yang sewajarnya.

Berdasarkan kemudahan ini dia mampu melakukan kajian sebagai seorang mujtahid sesuai dengan tingkatan-tingkatannya (mustaqil, murajjih atau musta’dil) secara keseluruhannya atau pada bab dan permasalahan tertentu sahaja.

Sebaliknya jika dia tidak memiliki kemudahan di atas, memadai jika dia hanya mengikut hasil kajian orang lain sambil memerhatikan dalil serta hujahnya (ittiba’) sekadar yang dapat diperolehinya. Jika masih menghadapi kesukaran, memadailah dengan hanya mengambil pendapat orang tersebut (taqlid).

Berkata Ibn Taimiyyah rahimahullah berkenaan hukum taqlid:

Pendapat yang dipegang oleh kebanyakan imam ialah ijtihad dibolehkan dalam beberapa sudut dan taqlid dibolehkan dalam beberapa sudut yang lain. Mereka tidak mewajibkan ijtihad ke atas setiap individu dan mereka tidak mengharamkan taqlid. (Pada waktu yang sama) mereka tidak mewajibkan taqlid ke atas setiap individu dan mereka tidak mengharamkan ijtihad.

Ijtihad dibolehkan mengikut kadar kemampuan masing-masing untuk berijtihad dan taqlid dibolehkan bagi sesiapa yang tidak mampu berijtihad. (Timbul persoalan) adakah orang yang mampu berijtihad dibolehkan baginya untuk bertaqlid ? Dalam persoalan ini terdapat perbezaan pendapat. Yang benar ia dibolehkan, iaitu pada ketika seseorang tidak mampu berijtihad sama ada kerana dalil-dalil yang dimilikinya sama-sama kuat atau kerana kesuntukan waktu untuk berijtihad atau kerana tidak menemui dalilnya. Dalam suasana keuzuran di atas, gugur baginya kewajipan untuk berijtihad sekadar apa yang menjadi keuzuran baginya dan statusnya beralih kepada apa yang di sebaliknya, iaitu taqlid. Ini sebagaimana orang yang memiliki keuzuran untuk bersuci kerana ketiadaan air (maka dia bertayamum).

Dan demikianlah juga bagi orang awam, jika dia berkemampuan untuk berijtihad dalam sebahagian masalah, maka dibolehkan baginya untuk berijtihad. Ini kerana ijtihad merupakan sesuatu yang boleh menerima pemecahan dan pembahagian (kepada tahap dan tingkatannya). Maka yang penting ialah mampu atau tidak (untuk berijtihad). Boleh jadi seorang itu mampu berijtihad di dalam sebahagian masalah akan tetapi tidak mampu di dalam sebahagian masalah yang lain. Akan tetapi kemampuan untuk berijtihad tidak boleh terlepas daripada terlebih dahulu menguasai ilmu yang diperlukan untuk mencapai ijtihad. Adapun jika dia hanya menguasai satu masalah daripada satu bab (atau topik) maka masih jauh baginya untuk ijtihad dalam (bab tersebut).[2]


Analisa Pendapat

Pertama: Analisa ke atas pendapat yang mengharamkan taqlid.

Pihak yang melarang taqlid beralasan dengan kata-kata para imam mazhab yang melarang ajaran mereka diikuti tanpa kajian dalil dan hujah. Antara kata-kata yang dimaksudkan ialah:

Perkataan al-Syafi‘e rahimahullah (menegur salah seorang anak muridnya):

Hai Abu Ishaq, janganlah engkau mengikut begitu sahaja segala yang aku ucapkan, kajilah dahulu kerana apa yang aku ucapkan ini adalah masalah agama.[3]

Perkataan Abu Hanifah rahimahullah:

Tidaklah dihalalkan bagi sesiapa menerima pendapat kami (mazhab) jika mereka tidak tahu dari sumber mana kami memperolehinya.[4]

Perkataan Malik bin Anas rahimahullah:

Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan.[5]

Perkataan Ahmad bin Hanbal rahimahullah:

Dapatkanlah ilmu dengan cara yang ditempuh oleh para imam mujtahid dalam mendapatkan ilmu; dan janganlah berpuas hati dengan hanya bertaqlid kerana taqlid itu bagaikan orang yang buta ![6]

Jawab:

Perkataan para imam sepertimana di atas atau apa-apa lain seumpama adalah benar akan tetapi jika dicermati secara mendalam, akan disedari bahawa ia hanya ditujukan kepada mereka yang berkemampuan dari sudut kecerdasan akal dan kemudahan fizikal. Tidak semua orang dapat mencapai tuntutan para imam mazhab tersebut. Justeru berkata al-Zarkasyi rahimahullah:

Sesungguhnya larangan tersebut hanyalah bagi para mujtahid agar tidak bertaqlid kepada mereka (para imam mazhab), bukan kepada orang-orang yang belum mencapai darjat mujtahid.[7]

Maka bagi mereka yang berkemampuan, dilarang untuk bertaqlid kepada ajaran para imam mazhab melainkan mengkajinya sesuai dengan tahap dan tingkatan ilmu masing-masing. Bagi mereka yang tidak mampu, boleh bertaqlid dengan catitan berusaha sekuat mampu untuk mengikuti dalil dan hujah yang digunakan oleh imam mazhab ikutan mereka.


Kedua: Analisa ke atas pendapat yang mewajibkan taqlid.

Pihak yang mewajibkan taqlid kepada semua orang beralasan dengan ayat berikut:

Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui. [al-Nahl 16:43]

Dengan ayat ini mereka berkata, kewajipan orang awam ialah bertanya dan kemudiannya bertaqlid kepada jawapan yang diberikan oleh orang yang berpengetahuan.

Jawab:

Penggunaan ayat di atas bagi mewajibkan taqlid kepada semua orang kecuali para mujtahid mustaqil adalah tidak benar kerana dua sebab:

Pertama: Ilmu dan ijtihad adalah sesuatu yang memiliki tahap dan tingkatannya. Orang awam sekalipun tidak mencapai tahap mujtahid mustaqil masih mampu untuk mencapai tahap yang lebih rendah seperti mujtahid murajjih dan mujtahid musta’dil.

Oleh itu tidak boleh mengeneralisasikan ayat di atas kepada semua orang awam kerana mereka terbahagi kepada beberapa tahap dan tingkatan untuk mengkaji dan berijtihad.

Kedua: Taqlid adalah tindakan mengikut sesuatu pendapat agama tanpa memerhatikan dalil dan hujah di sebaliknya. Ayat di atas tidak bersifat menyokong taqlid kerana orang yang bertanya bakal menerima jawapan dalam dua bentuk:

1. Jawapan yang disertai dengan dalil dan hujah kemudian diikuti dengan kesimpulan hukumnya dan

2. Jawapan yang tidak disertai dengan dalil dan hujah tetapi hanya kesimpulan hukum seperti “Itu haram”, “Ini sunat” dan sebagainya.

Berpegang kepada bentuk jawapan yang pertama disebut ittiba’ manakala berpegang kepada bentuk jawapan yang kedua disebut taqlid. Oleh itu sekali lagi, tidak boleh mengeneralisasikan ayat di atas kepada bertaqlid sahaja. Malah kesimpulan yang lebih tepat terhadap ayat 43 surah al-Nahl di atas adalah menjauhkan diri daripada menerima jawapan dalam bentuk bertaqlid. Ibn Hazm rahimahullah menerangkan sebabnya:

Kami tidak mengingkari fatwa yang diberikan oleh para ulama’ kepada orang awam yang meminta fatwa akan tetapi yang kami ingkari ialah penetapan fatwa tanpa bukti keterangan yang mendukunginya, tanpa rujukan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah kerana yang demikian itu berkemungkinan menimbulkan ikutan kepada pendapat yang silap.

Jika pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sudah wujud orang yang memberi fatwa yang silap maka sudah tentu selepas kewafatan baginda berlaku lebih banyak kesilapan dalam konteks yang lebih luas. Oleh itu kita harus menghindari fatwa yang dikeluarkan oleh mufti yang tidak menyandarkannya kepada dalil al-Qur’an, al-Sunnah dan Ijma’.[8]


Kepentingan meninggalkan sikap taqlid

Terdapat beberapa sebab penting umat Islam harus berusaha menjauhkan sikap taqlid. Antaranya:

1. Taqlid menghilangkan keindahan Islam dan keyakinan ibadah. Seorang muqallid tidak merasai keindahan agama yang dianutinya dan jauh sekali daripada merasai kepuasan dalam beramal ibadah. Wahbah al-Zuhaili berkata:

„Mengetahui hukum syara' di bidang fiqh tanpa dalil dan hujah tidak akan menimbulkan kepuasan fikiran dan kenikmatan jiwa serta tidak akan melahirkan ketenangan kepada mereka yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu.

Dengan kata lain ilmu yang disertakan dengan dalil akan mengeluarkan seseorang daripada ikatan taqlid buta yang dicela oleh al-Qur'an kepada ikutan dalam keadaan sedar dan mengetahui seperti yang disyaratkan oleh imam-imam yang kita terima ilmu pengetahuan daripada mereka.

Selain itu, dalil dan hujah merupakan roh kepada fiqh. Mempelajarinya adalah menjadi latihan dan pendidikan akal serta dapat memupuk bakat orang yang mempunyai ilmu di dalam bidang ini.“[9]

2. Bertaqlid menjatuhkan manusia ke tahap yang sangat rendah. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala membezakan antara manusia dan haiwan dengan kurniaan akal sebagai satu alat yang menganalisa, mengkaji dan berfikir. Apabila manusia menolak penggunaan akal dengan bertaqlid, dia menolak satu-satunya ciri khas yang membezakannya dengan haiwan. Kata-kata al-Sya’rani rahimahullah menjelaskan lagi hakikat ini:

„Sikap menyerah kepada pendapat para imam mujtahid adalah tindakan kelas orang yang paling rendah padahal yang saya (al-Sya'rani) menghendaki dengan kitab ini adalah apa yang melebihi daripada itu. Seorang muqallid harus tahu bagaimana imam yang diikutinya memahami suatu ayat atau hadis dan bagaimana cara imam tersebut mengambil hukum dari sumber pokoknya.“[10]

3. Taqlid menimbulkan sikap taksub mazhab kerana orang yang bertaqlid kepada satu mazhab, maka mazhab itu menjadi keyakinan dirinya sendiri. Sukar untuk dia melepaskan mazhabnya kerana dia tidak tahu apa yang betul dan apa yang salah berbanding dengan mazhab atau pendapat yang lain.

Sebaliknya yang yang sentiasa mengkaji ajaran mazhab akan memiliki sikap terbuka lagi toleran kerana dia sedia mengetahui kewujudan perbezaan pendapat di antara mazhab.

4. Taqlid menyebabkan para pengikut mazhab tidak dapat membezakan antara ajaran asli mazhabnya dan ajaran adat tradisi yang telah bercampur aduk. Sebagai contoh, umat Islam Malaysia umumnya mengakui bahawa apa yang mereka amalkan adalah Mazhab al-Syafi‘e padahal yang benar kebanyakannya ialah percampuran antara Mazhab al-Syafi‘e dan adat tradisi tempatan.

Sesiapa yang melazimkan dirinya membaca kitab-kitab hadis akan mendapati Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila mengajar atau menjawab apa-apa persoalan daripada para sahabat, baginda akan berusaha memberikan penjelasan yang lengkap agar mereka dapat mengetahuinya dengan penuh keyakinan. Tidak sekali-kali Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menghuraikan permasalahan agama dengan kaedah taqlid umpama: “Itu wajib, ini haram; itu sunat, ini makruh dan yang selainnya harus” sebagaimana yang lazim berlaku hari ini.

Salah seorang sahabat bernama ‘Abd Allah ibn Mas‘ud radhiallahu ‘anh pernah menerangkan cara dia dan para sahabat lainnya belajar al-Qur'an dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

Biasanya seseorang di antara kami para sahabat jika belajar sepuluh ayat (dari al-Qur'an) tidak akan melebihinya sehingga kami mengerti benar ertinya dan cara melaksanakannya.

Cara seperti ini dicontohi oleh genarasi selepas mereka sebagaimana yang diceritakan oleh Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami:

Kami diberitahu oleh guru-guru yang mengajar al-Qur'an bahawa mereka dahulu belajar al-Qur'an dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sepuluh ayat, maka tidak akan diminta tambah kecuali sesudah diamalkan dan disesuaikan diri dengan tuntutan ayat tersebut.[11]


Beberapa langkah untuk menjauhi taqlid

Memandangkan taqlid sudah menjadi satu kelaziman umat Islam tanah air, berikut disenaraikan beberapa langkah untuk menjauhi taqlid:

· Menetapkan di dalam diri masing-masing bahawa menuntut ilmu adalah wajib hukumnya ke atas setiap individu muslim. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: Menuntut ilmu adalah wajib atas setiap Muslim.[12] Bertaqlid tidak termasuk di dalam kategori menuntut ilmu melainkan bagi orang yang benar-benar tidak mampu dari sudut kecerdasan akal dan kemudahan fizikal.

· Menetapkan keyakinan di dalam diri masing-masing bahawa menuntut ilmu agama adalah mudah sebagaimana menuntut ilmu-ilmu yang lain. Lebih dari itu sesiapa yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu atas tujuan memperbaiki agamanya, maka dia akan dipimpin oleh Allah sebagaimana firman-Nya:

(Maksudnya): Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. [al-Ankabut 29:69]

· Lazimkan diri untuk menghadiri kuliah agama dan membaca buku yang bersifat ilmiah. Pasti setiap pendapat yang dikemukakan disandarkan kepada dalil al-Qur’an dan al-Sunnah diikuti dengan hujah tokoh yang muktabar. Jauhilah kuliah atau buku agama yang hanya membicarakan agama tanpa dalil dan hujah.

· Memberi perhatian dan keutamaan kepada para ustaz dan ustazah yang “junior”. Alhamdulillah, negara kita memiliki ramai graduan tempatan mahupun luar negara dalam jurusan agama yang mampu menyampaikan ilmu dengan menjauhi kaedah taqlid. Akan tetapi mereka tidak diberi perhatian yang sewajar oleh masyarakat sebagai sumber rujukan ilmu semata-mata kerana umur mereka yang agak muda.

· Berdoa kepada Allah agar diberi kecerdasan akal dan kemudahan fizikal untuk menuntut ilmu sebagaimana firman-Nya:

(Maksudnya): “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.” [Taha 20:114]




[1] Ensiklopidi Islam – Taqlid.

Syaikh Rashid Rida ialah seorang ulama' pembaharu dan pembangun Islam yang terkemuka bagi umat Islam akhir zaman. Beliau lahir di Mesir pada 1281H/1865M dan sempat merantau ke beberapa negara Islam yang lain bagi mencari pengalaman dan meluaskan fikiran. Rashid Rida banyak memberikan tumpuan kepada membangkitkan semula ilmu dan sekaligus umat Islam selari dengan peredaran dunia. Bagi beliau, bukan Islam yang memundurkan umat tetapi umat yang memundurkan Islam. Beliau meninggal dunia pada 1353H/1935M.

[2] Majmu’ al-Fatawa, jld. 20, ms. 202-204.

[3] Riwayat al-Sya’rani di dalam al-Mizan al-Kubra, jld. 1, ms. 192-193.

[4] Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Intiqa’ fi Fadha’il al-Tsalatsah al-A’immah, ms. 145 (The Prophet’s Prayer Described, ms. viii).

[5] Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32.

[6] Riwayat al-Sya’rani – al-Mizan al-Kubra, jld. 1, ms. 36

[7] al-Bahr al-Muhith, jld 8, ms. 328.

[8] Al-Ihkam fi Ushul al-Ahkam, jld. 6, ms. 1076 sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Luwaihiq di dalam bukunya Ghuluw: Benalu di dalam Berislam (edisi terjemahan oleh Kathur Suhardi; Darul Falah, Jakarta 2003), ms. 301-302.

[9] Fiqh dan Perundangan Islam, jld. 1, ms. xliv.

[10] al-Mizan al-Kubra, jld. 1, ms. 36.

[11] Kedua-dua riwayat diutarakan oleh Ibn Katsir di dalam Tafsir al-Qur'an al-Adzim (edisi terjemahan oleh Salim dan Said Bahreisy; Victory Agencie, K.Lumpur 1988), jld. 1, ms. xviii.

[12] Sahih: Hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Ibn Hibban, al-Thabarani dan lain-lain, dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Jami’ al-Shagheir – no: 3913.

Wahai Dai`e !!: Jalan Yang Lurus Atau Jalan Yang bengkok?

Oleh : Abu Ayyub Muhammad Fashan b.Ahmad Ziadi http://madrasahhadith.blogspot.com/

Ramai di kalangan penuntut ilmu yang menyangka mereka sudah mengikuti manhaj Nabawi dalam dakwah dan tarbiyah mereka, sedangkan mereka jauh dan telah menyimpang dari petunjuk al-Quran, as-Sunnah dan mengikut kefahaman Salaf as-Soleh.[1] Mereka sudah merasakan sukatan,slot-slot tarbiyyah,tanzim dan organisasi mereka sudah berjaya mentarbiyyah ahli-ahli mereka[2].Penulis ingin mengajak para Dai`e agar memerhati,mentadabburi doa yang sering kita ulang-ulangi paling kurang 17 kali sehari semalam iaitulah:

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Hidayahkanlah(tunjukilah) kami Jalan Yang Lurus[3]
Apabila kita meneliti ayat di atas, sudah pasti setiap dari kita pasti mengucapkan doa ini di dalam solat kita.Persoalannya disini, apakah kita benar-benar mengetahui apakah jalan yang lurus itu?, bagaimana jalan yang lurus itu?, siapakah yang berada di atas jalan yang lurus itu?,dan apakah ciri-ciri jalan yang lurus itu?...
Manhaj(Metodologi) yang Shahih Dalam Mentafsirkan al-Quran
Kesemua umat Islam mengaku dan mendakwa mereka berpegang dengan al-Quran, mereka membaca dan menghafaznya, berhujjah dengannya.Namun persoalannya adakah kita menyedari bagaimana manhaj kita memahami dan berinteraksi dengan al-Quran?, Adakah kita memahami al-Quran sepertimana yang dikehendaki oleh Allah subhanahuwata`ala dan rasul-Nya?, atau hanya mengikut pendapat, selera dan kepentingan jamaah atau organisasi kita? Para Ulama` Tafsir meletakkan hadith ini di dalam mukaddimah tafsir mereka:

من قال في القرآن برأيه فليتبوأ مقعده من النار

Sesiapa yang berkata tentang al-Quran menurut pendapatnya maka persiaplah tempat duduknya di dalam Neraka[4]

Al-`allamah Syeikh Muhammad Ibn Shaleh al-`Utsaimin telah meletakkan manhaj(metodologi) kaedah untuk menafsirkan al-Quran di dalam Syarh al-Ushul al-Tafsir[5]:

1.Hendaklah al-Quran ditafsirkan dengan Kalam Allah(al-Quran)juga,kerana Allahlah yang menurunkannya dan sudah semestinya Allah lebih mengetahui kehendak dan maksud kalamNya.
2.Hendaklah al-Quran ditafsirkan dengan Kalam Rasul(as-Sunnah), kerana bagindalah manusia yang paling mengetahui tentang kitab Allah.
3.Hendaklah al-Quran ditafsirkan dengan pendapat Sahabat, kerana merekalah golongan yang hidup bersama Nabi sallallahu`alaihwasallam, dididik dan ditarbiyyah dalam situasi penurunan wahyu, mereka mendapat jaminan dan pemeliharaan dari Allah jalla wa`ala.
Penulis membawakan beberapa contoh dalam kaedah yang pertama;
Contoh Pentafsiran 1: Siapakah Wali Allah? Allah jalla wa`ala berfirman:

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.[6]

Mungkin kita pernah mendengar apabila disebut wali-wali terbayang dalam kotak pemikiran kita mereka mempunyai kelebihan tertentu, boleh terbang, berjalan di atas air, memakai serban, jubah dan sebagainya.Itulah pentafsiran kita atau pentafsiran yang dilakukan segelintir ustaz, ulama`atau syeikh. Sedangkan tafsiran yang benar dan tepat ialah ayat yang berikutnya Allah menjelaskan tentang wali-waliNya:

الَّذِينَ آَمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ

(iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.[7]

Jelas sekali wali-wali Allah ialah mereka yang benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah, Hal ini merupakan penjelasan yang telah dijelaskan oleh yang menurunkan Al-Quran itu sendiri iaitulah Allah ta`ala.Maka segala pentafsiran yang bercanggah dengan tafsiran Allah sendiri maka tafsirannya adalah tertolak.
Contoh Pentafsiran 2: Apakah itu الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ (Jalan Yang Lurus)?
Jalan yang lurus ini mungkin ditafsirkan oleh kita dengan tafsiran Islam[8], Ya penulis mengakui Islamlah yang dimaksudkan dalam ayat di atas.Namun situasi masyarakat kita hari ini, dimana umat Islam telah berpecah kepada kelompok-kelompok yang masing-masing mengaku dan mendakwa kelompok merekalah yang paling benar[9] dan kesemuanya mendakwa dan memakai nama Islam.Maka hal ini memerlukan penafsiran yang lebih tepat,jelas dan meyakinkan. Tafsiran yang tepat, jelas dan meyakinkan tentulah tafsiran yang dilakukan oleh Allah subhanahuwata`ala sendiri seperti firmanNya yang menceritakan perkataan rombongan jin yang beriman:

قَالُوا يَا قَوْمَنَا إِنَّا سَمِعْنَا كِتَابًا أُنْزِلَ مِنْ بَعْدِ مُوسَى مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ يَهْدِي إِلَى الْحَقِّ وَإِلَى طَرِيقٍ مُسْتَقِيمٍ

Mereka berkata: "Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan kitab (Al Qur'an) yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus.[10]

Jelas sekali jalan yang lurus itu ialah al-Quran al-Karim, namun kita masih samar jika dilihat kesemua kelompok dan aliran yang menyeleweng masing-masing mengaku dan mendakwa mereka berpedoman dan berpegang dengan al-Quran, justeru itulah kita perlu merujuk lagi penafsiran ayat di atas daripada ayat yang lain iaitulah firman Allah ta`ala:

وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Dan sesungguhnya kamu(Muhammad) benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus.[13]
Ayat di atas jelas-jelas sekali menunjukkan bahawa Rasulullah sallallahu`alaihwasallam adalah petunjuk kepada jalan yang lurus, Sunnah Rasulullah sallallahu`alaihwasallam yang membezakan di antara kelompok-kelompok yang mendakwa berpegang dengan al-Quran tadi jika mereka hanya berpegang dengan al-Quran semata-mata dan meninggalkan petunjuk sunnah maka mereka tidak akan dapat menyelusuri jalan yang lurus tersebut, malah mereka telah menyeleweng dari jalan yang lurus. Malah hal ini lebih jelas apabila kita melihat hadith Nabi sallallahu`alaihwasallam diriwayatkan dari `Abdullah Ibn Mas`ud radiallahu`anhu:

خَطَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطًّا بِيَدِهِ ثُمَّ قَالَ هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ مُسْتَقِيمًا قَالَ ثُمَّ خَطَّ عَنْ يَمِينِهِ وَشِمَالِهِ ثُمَّ قَالَ هَذِهِ السُّبُلُ وَلَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ ثُمَّ قَرَأَ { وَإِنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ }

Rasulullah sallallahu`alaihwasallam menarik garis lurus kemudian berkata:” Ini adalah jalan Allah”.Kemudian baginda menarik garis ke kanan dan ke kiri dari garis lurus itu kemudian berkata: “Ini adalah jalan-jalan lain, di pangkal setiap jalan tersebut terdapat syaitan yang mengajak kepadanya”. Kemudian baginda membaca ayat[14] yang bermaksud:
dan bahwa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), karena jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.[15]

Mungkin kita masih tidak jelas lagi kerana ramai juga golongan yang mendakwa mereka berpegang dengan al-Quran dan as-Sunnah, maka bagaimana kita hendak mengetahui siapakah yang benar dalam sesuatu dakwaan yang dibuat? Hal ini perlu dijelaskan lagi, dan penjelasan ini telah dijelaskan seperti yang kita ketahui di dalam surah al-Fatihah ayat yang ke 7.

صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ

(iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka Cuba kita tanyakan diri kita siapakah mereka yang dianugerahkan nikmat kepada mereka? Adakah tokoh-tokoh yang kita taksubkan[16]?
, Siapakah mereka? Allah menjelaskan di dalam firmanNya mereka ialah:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ رَفِيقًا

Dan barang siapa yang menaati Allah dan Rasul (Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.
Berkata Ibnu `Abbas radiallahu`anhu: Mereka ialah orang-orang yang beriman ini juga pendapat Mujahid, berkata Waki`: Mereka ialah orang-orang Islam,dan berkata Abd Rahman Ibn Zaid Ibn Aslam: Mereka ialah Nabi sallallahu`alaihwasallam dan mereka yang bersamanya(para sahabat)[17]

Ayat ini merangkumi rukun ketiga, iaitu merujuk kepada kefahaman Salaf as-Soleh[18] dalam meniti jalan yang lurus tersebut.Padahal sudah tidak diragukan bahawa siapa saja yang berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah pasti telah mendapat petunjuk kepada jalan yang lurus.Berhubung metode manusia dalam memahami al-Quran dan as-Sunnah berbeza-beza, ada yang benar dan ada yang salah, maka haruslah memenuhi rukun ketiga untuk menghilangkan perbezaan tersebut, iaitu merujuk kepada kefahaman Salaf as-Soleh. [19]
Menurut Ibnul Qayyim rahimahullah: “ Setiap orang yang paling mengetahui kebenaran dan berkomitmen untuk mengikutinya, tentu paling berhak berada di atas ‘ Shirathal Mustaqiim” Sudah tidak diragukan lagi bahawa yang paling berhak disifati demikian adalah para sahabat Nabi sallallahu`alaihwasallam ……oleh sebab itu ulama Salaf menafsirkan Shirathal Mustaqiim dengan Abu Bakar,Umar dan seluruh sahabat Nabi sallallahu`alaihwasallam[20]
Penulis berkata: “ Ayat ini menjadi panahan yang tajam menyerang dakwaan dan tuduhan dusta kelompok syi`ah yang mengkafirkan dan mempertikaikan para Sahabat Nabi sallallahu`alaihwasallam.Moga Allah membalas dan menghinakan mereka.
Bantahan Terhadap Mereka Yang Bosan Dan Tidak Bersabar Dengan Ilmu[21]
Sebahagian di kalangan kita sering mempertikaikan dakwah kepada Al-Quran dan As-Sunnah mengikut kefahaman Salaf as-Soleh.Pelbagai tuduhan, cacian, dan ejekan yang ditujukan kepada mereka yang membawa dakwah salafiah ini.Marilah kita merenung dan mentadabburi ayat Allah ta`ala:

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik[22]

Berkata Imam al-Baghawi rahimahullah(w516H ) di dalam Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad) inilah(dakwah yang aku menyeru kepadanya dan jalan yang aku berada di atasnya) jalanku( Sunnah dan Manhajku) berkata Maqatil:agamaku,(rujuk surah an-Nahl:125).Aku dan mereka yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah dengan hujjah yang nyata( keyakinan dan Ilmu yang dapat membezakan antara yang hak dan kebatilan).[23]
Berkata al-Qurtubhi (w671H) ketika menafsirkan perkataan al-Bashiirah: keyakinan dan kebenaran[24]

Berkata Ibn Kathir rahimahullah(w774H) di dalam Tafsirnya: Allah memerintahkan hambaNya dan juga rasulNya agar memberitahu memerintahkan jin dan manusia bahawasanya: Inilah jalanNya dan sunnahNya iaitulah dakwah mengajak kepada لا إله إلا الله وحده لا شريك له , menyeru(berdakwah) kepada Allah dengan kalimah tersebut atas dasar al-Bashiirah,keyakinan dan burhan(Bukti dan hujjah yang nyata),beliau dan mereka yang mengikutinya berdakwah kepada apa yang diserukan kepadanNya oleh Rasulullah sallallahu`alaihwasallam di atas dasar al-Bashiirah (ilmu)yang yakin dan hujjah serta bukti Syari`at dan akal.[25]

Cuba kita periksa dakwah yang kita lakukan selama ini, adakah kita mengajak manusia kepada Allah iaitu al-Quran, atau kita mengajak manusia supaya mengikuti dan menyokong diri kita, jamaah kita,atau organisasi kita?periksa semula adakah dakwah dan ajakan kita kepada pendapat guru,syeikh,tokoh ,ustaz atau imam kita? Apakah dakwah kita didasari ilmu,keyakinan,hujjah,dan bukti yang nyata?,atau hanya berdasarkan persangkaan semata-mata?. Allah berfirman:

وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا

sesungguhnya persangkaan itu tiada berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran[26].
مَا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِلا اتِّبَاعَ الظَّنِّ

Mereka tidak mempunyai keyakinan, kecuali mengikuti persangkaan belaka[27]
Malah ada sebahagian mereka yang tertipu dan terpedaya dengan perangkap demokrasi ciptaan barat, mereka jelas-jelas mendahulukan pendapat majoriti dan kebanyakan manusia daripada wahyu, malah mereka mengukur kebenaran berdasarkan kehendak masyarakat, selera masyarakat dan realiti masyarakat.Pelbagai istilah dicipta untuk menghalalkan matlamat mereka, kononya mengikut waqi` dan realiti masyarakat.Sehingga apa yang dilarang oleh Allah dan Rasul sudah tidak diendahkan dan mereka lebih tunduk dan takut dengan kehendak orang ramai, sedangkan Allah ta`la berfirman:

وَإِنْ تُطِعْ أَكْثَرَ مَنْ فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنْ يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ

Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).[28]
Nabi sallallahu`alaihwasallam bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ

Jauhkanlah kamu dari sangkaan,maka sangkaan itu adalah sedusta-dusta perkara.[29]
Disini penulis menyeru agar para dai`e dan mereka yang mendakwa berjuang untuk menegakkan agama Islam, agar memerhatikan ayat-ayat di atas dakwah para Nabi termasuklah Nabi Muhammad sallallahu`alaihwasallam bukannya dakwah politik, bukannya dakwah untuk mendapatkan daulah dan pemerintahan tetapi dakwah Nabi sallallahu`alaihwasallam adalah memperbetulkan akidah ummah,Ibadah mereka kemudian akhlak mereka, [30] Lihat sahaja Nabi pernah ditawarkan pangkat,jawatan dan kerusi pemerintahan oleh musyrikin Mekah, adakah Nabi menerimanya?, adakah Nabi menggunakan hujjah mengikut waqi`[31] seperti kita hari ini? Adakah Nabi dan para sahabat menyusun dan merancang provokasi besar-besaran[32] ke atas kepimpinan Quraisy ketika itu semata-mata untuk mendapatkan pemerintahan?, Adakah Nabi dan para sahabat mengadakan demonstrasi[33] tatkala para sahabat ditindas dan dizalimi?

Manhaj Nabi dan para sahabat adalah berdasarkan ilmu,keyakinan dan bukti yang jelas dan nyata, tarbiyyah Nabi terhadap para sahabatnya ialah atas dasar ilmu,hujjah ,bukti,akidah dan keyakinan bukan berdasarkan sangkaan.Periksa kembali akidah kita ,adakah ianya shahih,amal Ibadah kita adakah ianya berdasarkan petunjuk Nabi? Atau hanya ikut-ikutan,dan berdasarkan warisan.Begitu juga tarbiyyah dan tanzhim, dan tamrin yang kita ikut dan kita jalankan, adakah ianya menepati kehendak Allah dan Rasul atau ianya hanya sangkaan kita semata-mata. Adakah kita bersungguh-sungguh melazimi majlis-majlis ilmu?,atau kita bosan dengan majlis ilmu? Bosan dengan al-Quran,As-Sunnah perkataan para sahabat,para ulama dan kitab-kitab mereka?Sedangkan kita tanpa rasa malu mencela dan memperlekehkan orang yang melazimi majlis ilmu[34], dan yang sentiasa menjadikan kitab-kitab sebagai teman mereka? Atau kita menganggap mentadabburi lagu-lagu nasyid ciptaan manusia,menonton filem-filem itu dapat menenangkan jiwa dan perasaan? Sedangkan al-Quran hanya dibaca untuk mendapat berkat semata-mata!! Fikirkan wahai Dai`e yang terlena!!!

Ingatlah Ikhwanul muslimin, Rasulullah sallallahu`alaihwasallam tidak meninggalkan kita harta, wang, pangkat dan pemerintahan tetapi baginda sallallahu`alaihwasallam Hanya meninggalkan ilmu dan para ulama` sebagai warisan kita.

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Sesungguhnya Para Ulama` adalah pewaris para Nabi, sesungguhnya para Nabi tidak sesekali mewariskan dinar dan juga dirham,mereka mewariskan ilmu maka sesiapa yang mengambil(menuntutnya)maka dia telah mendapat ganjaran yang besar.[35]

Wallahu`alam,

Ditulis pada 5 April 2009 APIUM Nilam Puri Kota Bharu.

[1] Penulis menyertakan kefahaman Salaf as-Soleh kerana ianya menjadi pembeza di antara yang hak dan batil dalam memahami al-Quran.Ramai kelompok yang menyimpang dari ahli Sunnah wal Jamaah juga mendakwa mereka berpedomankan al-Quran dan as-Sunnah tetapi mereka terlupa tanpa kefahaman Salaf as-Soleh mereka akan tersalah memahami al-Quran dan as-Sunnah.InsyaAllah,Penulis akan buktikan keyataan ini, teruskan membaca artikel ini…
[2] Mereka mentarbiyyah diri menggunakan zikir-zikir yang tidak thabit dan shahih daripada Nabi sallallahu`alaihwasallam , tidak mengikut cara yang ditunjukkan oleh Nabi sallallahu`alaihwasallam dan menggunakan muzik dan cara-cara yang yang menyimpang dari al-Quran as-Sunnah mengikut kefahaman dan petunjuk Salaf as-Soleh.
[3] Al-Fatihah 1:6 [4] HR Tirmidzi 3/65,Musnad Ahmad 1/269,Musnad Abu Ya`la,Ibn Jarir di dalam Tafsir at-Thobari, Hadith Ini dihukum oleh Imam Tirmidzi bertaraf hasan tetapi didha`ifkan oleh al-Albani kerana di dalam sanadnya terdapat عبدالأعلى عامرابن الثعلبي Abdul`ala Ibn `Amir al-Tsa`labi. kata az-Zahabi di dalam ad-Dhu`afa` : Imam Ahmad dan Abu Zur`ah mendha`ifkannya, begitu juga disebut oleh al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Taqrib at-Tahzib, sila rujuk Silsilah ad-Dha`ifah 4/282.Wallahu`alam
[5] Muhammad Ibn Shaleh al-`Utsaimin, Syarh Ushul fi Tafsir wayalih Syarh Muqaddimah al-Tafsir, Ta`liq Muhammad Ibn `Abdillah al-Misri,ms 19, Maktabah al-Islamiyyah cet pertama, 1426H
[6] Yunus 10: 62
[7] Yunus 10: 63
[8] Sila rujuk Tafsir al-Quran al-`Azhim, Ibn Kathir
[9] Seperti kelompok-kelompok bid`ah seperti Syia`h,Khawarij,muktazilah,hizbiyyah dan tasawwuf menyeleweng dan selainnya.
[10] Al-Ahqaaf 46:30
[11] Al-Baqarah 2:2
[12] Ali-Imran 3:101
[13] As-Syuura 42:52
[14] Al-An`aam 6:153
[15] Shahih, HR Ahmad no:4205,Ibn Majah no:11,Nasaie dalam Sunan al-Kubra 6/343, disahihkan oleh al-Hakim di dalam Mustadrak `ala Shahihain 7/64
[16] Sesetengah penuntut ilmu dan pendakwah sangat taksub kepada syeikh, kelompok atau amir-amir mereka seperti taksub kepada Syeikh Hassan al-Banna rahimahullah, Sayyid Quthub, Qaradhawi dan tokoh-tokoh ikhwanul muslimin yang lain sehinggakan mereka terlampau mengagungkan perkataan-perkataan tokoh-tokoh mereka melebihi perkataan Allah dan Rasulullah sallallahu`alaihwasallam,(rujuk surah al-Hujurat ayat 1) mereka menganggap tokoh-tokoh tersebut maksum, malah lebih utama dari para sahabat, tabi`in dan ulama salaf dan ulama`-ulama yang mengikut manhaj Salaf as-soleh.Buktinya apabila ada pendapat tokoh mereka yang menyalahi petunjuk Nabi maka mereka menolak petunjuk dan tetap mendahulukan pendapat syeikh dan tokoh mereka.
[17] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-`Azhim 1/138 Maktabah Syaamilah
[18] Sila rujuk artikel penulis sebelum ini tentang Salaf?,Siapakah Salaf??
[19] Syaikh Abdul Malik Ramadhan al-Jazairi, Madariku an-Nazhar Fi as-Siyasah edisi terjemahan berjudul Pandangan Tajam Terhadap Politik penterjemah: Abu Ihsan al-Atsari,ms 10-11,Pustaka Imam Bukhari cet.pertama 2002
[20] Syaikh Abdul Malik Ramadhan al-Jazairi, Madariku an-Nazhar Fi as-Siyasah edisi terjemahan berjudul Pandangan Tajam Terhadap Politik penterjemah: Abu Ihsan al-Atsari,ms 15,Pustaka Imam Bukhari cet.pertama 2002
[21] Untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan ilmu dan adab-adab penuntutnya,bolehlah merujuk dan membaca kitab al-`Ilm karya Syeikh `Utsaimin rahimahullah.
[22] Yusuf 12:108
[23] Muhyi AS-Sunnah Abu Muhammad al-Husain Ibn Mas`ud al-Baghawi, Ma`alimut Tanziil 4/284, Maktabah Syaamilah.
[24] `Aziz Ibn Farihan al-`anzi , Al-Bashiirah Fi Da`wah ila Allah, 1/1 Maktabah Syaamilah
[25] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-`Azhim, 4/422, Maktabah Syaamilah
[26] An-Najm 53:28
[27] An-Nisa` 4:157 [28] Al-An`aam 6:116
[29] HR Bukhari no:5604 daripada Abu Hurairah radiallahu`anhu
[30] Muhammad Nashiruddin al-Albani, At-Tauhid awwalan Ya Du`at al-Islam, ms 7, Maktabah Syaamilah
[31] Sebahagian penuntut ilmu menuduh kononnya mereka yang teguh berpegang dengan nas al-Quran dan as-Sunnah sebagai kolot, tidak mengikut waqi`(realiti).Penulis ingin bertanya adakah al-Quran itu tidak mengikut realiti?, adakah as-Sunnah itu tidak sesuai dengan waqi` sekarang? Sungguh sedih mendengar ucapan sebegini.Silalah merujuk kitab Fiqhul Waaqi` karya al-Muhaddith Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah.
[32] Hal ini kita dapat lihat ahli-ahli politik hari ini sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan individu tertentu dengan saling tuduh-menuduh, fitnah-menfitnah malah sanggup kafir-mengkafir, Moga Allah melindungi kita dari fitnah politik yang kotor!!
[34] Inilah perkataan sebahagian daripada kelompok Hizbiyyah, dan Haraki yang memperlekehkan dakwah salafiyyah yang mereka panggil ulama` kitab, dai`e manja, salafi `ilmi, mutasyaddid, ekstrim sedangkan banyak kerosakan yang dilakukan oleh mereka adalah disebabkan mereka meninggalkan ilmu,para ulama` dan seminar-seminar,daurah ilmiyyah.Mereka tidak sabar dalam menuntut ilmu dan hanya bertaqlidkan buku-buku Haraki, majalah-majalah,akhbar-akhbar, dan juga sumber-sumber media yang tidak boleh dipercayai, sedangkan Dai`e Salafiyyah mereka sentiasa mengajak kepada al-Quran,as-Sunnah mengikut manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah, rujukan mereka ialah kitab-kitab Tafsir yang muktabar,Kitab-kitab hadith yang ditinggalkan oleh para ulama yang menjadi pewaris para Nabi.
[35] Shahih, HR Abu Daud no:3157,Tirmidzi no:2606,Ibn Majah no:219

Lama betul tak update...

Assalamualaikum...
lama tul tak update fotopages ni, memang takde masa nak menaip..alhamdulillah sekarang ni ada masa ler sikit..insyaallah lepas ni ana akan cuba luangkan masa untuk update...

just nak bgtau perkara-perkara yang berlaku tapi tak sempat nak update dalam ni..

pada 20 januari 2009 ana telah menimang cahaya mata yang pertama, alhamdulillah dapat baby boy yang sihat walafiat..nama yang diberi Muhamad Fathurrahman...

dan yang latest, sekarang ana sekeluarga berada di Kuching Sarawak, baru jek tak sampai 2 minggu lagi kami berada di sini...alhamdulillah ana dan isteri dihantar bertugas di tempat yang sama dan dalam jabatan yang sama. kami bertugas di Politeknik Kuching Sarawak di bawah Jabatan Pengajian Am.

so, takde apa takat ni untuk di kongsi, insyaallah kalau ada masa ana akan upload dalam blog ni..

Saturday, November 22, 2008

Pening-Pening Lalat....

Pelik-pelik...

Tok Ayah 'konpius' sekarang ni Tok Ayah kat mana, nak kata kat Malaysia tapi bila buka tv (Astro) penuh dengan rancangan dari seberang (Indonesia), bukak chenel tu citer Indonesia, chenel ni citer Indonesia, banyak betul siaran dari seberang...

Pelik-pelik...

Bila sebut cerita dari seberang ni, bukannya Tok Ayah anti-seberang, tapi cerita-cerita yang ditayangkan tu kadang kala boleh merosakkan aqidah orang Islam. Contohnya cerita Bawang Putih Bawang Merah' yang disiarkan pada hujung minggu tu. Dalam cerita tu ada seekor pari-pari yang ada kuasa ajaib,lalu si Bawang Putih ni selain berdoa kepada Allah dia juga memohon sesuatu dari si pari-pari ni, tak ke syirik tu sebab menyekutukan Allah, percaya kepada kuasa lain...

Pelik-pelik...

Bila bukak surat khabar kolum hiburan, dok citer lak pasal artis Indon..Tak cukup dengan budaya hiburan dari dalam negeri, dibawa pula artis-artis Indon sehinggakan konsert-konsert pun diadakan..Teringat pulak judul lagu 'Makhluk Tuhan Paling Seksi' yang dinyanyikan oleh artis Indon, tak ker naya judul gitu?? kenapa tak buat judul 'Makhluk Tuhan Paling Wara' ker apa-apa ker....

Pelik-pelik...

Dalam kolum jenayah pulak, ramai ler penjenayah-penjenayah dari Indonesia ni yang kena tembak mati dek polis Malaysia disebabkan kegiatan jenayah mereka di sini..Tak kurang pula dengan operasi PATI, ramai dari kelompok mereka...

Pelik-pelik..

Baru-baru ni kecoh sekejap pasal anak gadis Malaysia yang dilarikan atau melarikan diri ke Lombok Indonesia..juga melibatkan warga Indon..tu baru satu wilayah iaitu Lombok, wilayah lain tak tahu ler lagi...


Pelik-pelik...

Sebab tu ler Tok Ayah 'konpius' sekarang ni Tok Ayah masih di Malaysia atau berada di Indonesia...Mungkin boleh gak (kalau tak salah dari segi bahasa ler) digelarkan budaya "Indonisme"..kalau sekular boleh jadi sekularisme, maka gejala sebegini di Malaysia pun boleh jadi "Indonisme"...