Friday, August 29, 2008

Apa Dah Jadi Dengan Malaysia

Assalamualaikum...
Entah apa dah jadi dengan Malaysia? Akhir-akhir ini banyak isu yang timbul antaranya isu liwat, isu mubahalah, isu fitnah memfitnah, isu konsert Avril dan macam-macam lagi....
Semakin hampir dengan Ramadhan Al-Mubarak, semakin banyak mehnah yang menimpa umat
Islam...
Konsert Avril yang dijangka akan dilangsungkan dalam negara kita di Stadium Merdeka pula menyentuh sensitiviti umat islam, kenapa semua ini berlaku??
Sempena Ramadhan Al-Mubarak yang hampir tiba, hendaklah kita mengkoreksi diri dengan apa yang telah berlaku, bertaubat sebelum terlambat moga moga taubat kita diterima oleh Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang...

Ya Allah,
Berikanlah hidayah kepada hamba-hamba-Mu dan ampunkanlah dosa-dosa kami.

Pemuda PAS anjur ekspedisi dakwah, bantah Konsert Avril

KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan Ekspedisi Dakwah tiga hari berturut-turut sebelum sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-51 dan sebelum menjelangnya Ramadan.
Menurut Ketua Penerangannya, Herman Samsudeen yang menghubungi Harakahdaily hari ini, ekspedisi dakwah tersebut akan bermula hari ini yang mana Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan bersama Pemuda PAS Pusat akan mengadakan bantahan Konsert Avril Lavigne di hadapan Stadium Merdeka.
Semua peserta dan petugas-petugas unit Amal Pemuda akan berkumpul di hadapan pintu masuk Stadium Merdeka pada pukul 7.00 petang. Solat Maghrib dan solat hajat akan diadakan secara berjemaah di hadapan pintu masuk Stadium Merdeka.
Sementara itu, ekspedisi kedua akan diadakan pada malam 30 Ogos, yang juga merupakan aktiviti tahunan Dewan Pemuda Wilayah. Semua peserta diminta berkumpul di Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada pukul 10 malam untuk sesi taklimat.
Bagi Ekspedisi yang ketiga, akan diadakan pada 31 Ogos dengan anjuran bersama Ahli Parlimen Titiwangsa,Dr. Lo'Lo' Mohamad Ghazali. Ekspedisi ketiga ini diadakan khusus bagi mengunjungi golongan pekerja seks dan mak nyah di sekitar Jalan Hj. Taib. Para peserta diminta berkumpul pada jam 4.30 petang di Surau Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.
Sehubungan itu beliau mengajak seluruh ahli Pas, Umat Islam dan NGO untuk turut bergabung dalam usaha dakwah ini. - mks._

Sunday, August 17, 2008

Nifsu Sya'ban : Fadhilatnya Sahih TETAPI tiada amalan khusus pada hari tersebut.

Hadith sahih fadhilat nisfu sya'ban :
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Sya'ban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).
(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh)
Berdasarkan hadith ini cukuplah bagi kita meningkatkan amalan kita pada malam tersebut mengikut cara yang telah diajar nabi dengan amalan harian seperti bangun solat tahajud, membaca al-Qur'an (jangan mengkhusus surah-surah tertentu untuk diabaca), berzikir dengan zikir-zikir mathur dan berdoa.
Daripada Aisyah ra berkata: (Adalah Rasulullah saw apabila berpuasa, sehingga kita menganggap Baginda tidak akan berbuka, dan apabila Baginda berbuka, seolah-olah kita akan menganggap Baginda tidak akan berpuasa, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda memperbanyakkan puasanya (selain bulan Ramadhan) melainkan pada bulan Sya’ban).
(Riwayat al-Bukhari & Muslim) Daripada hadith di atas kita juga disunnah memperbanyakkan puasa dalam bulan sya'baan TETAPI jangan kita mengkhususkan puasa pada nifsu syaa'ban dengan mengatakan sunnah untuk puasa pada nifsu syaa'ban.Hadith sahih hanya mengatakan sunnah untuk memperbanyakan puasa pada bulan sya'baan sahaja tiada hadith yang menyebut khusus tentang sunnah berpuasa pada nifsu sya'ban.
Jadi sesiapa yang hendak berpuasa pada hari nifsu sya'ban dengan niat aku berpuasa pada hari ini kerana nabi memperbanyakkan puasa pada bulan sya'ban maka sesunggunhnya dia telah mengikut sunnah.
TETAPI
Jika seseorang berpuasa pada hari nifsu sya'ban dengan niat aku berpuasa pada hari ini kerana nabi mengkhususkan puasa pada nifsu sya'baan maka sesungguhnya ini bukan sunnah daripada nabi dan amalan ini tertolak. Tiada amalan-amalan khusus pada nifsu sya'ban Tiada amalan-amalan khusus yang diajar nabi untuk dilakukan pada malam tersebut.Kita melihat banyak hadith-hadith lemah tentang amalan-amalan khusus pada malam nifsu sya'baan dan ia ditambahkan lagi dengan hadith-hadith palsu yang direka tentang amalan-amalan khusus pada malam tersebut. Fatwa Dr. Yusuf al-Qaradawi mengenai amalam-amalan khusus nisfu sya'baan:
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka."
(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut). Wahai pereka-pereka hadith ingatlah sesungguhnya kamu semua telah berdusta ketas nabi dengan hadith-hadith rekaan dan tulisan kamu, siaplah api neraka bagi kamu semua, hal ini berdasarkan hadith sahih dibawah :“
Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka) Ulasan terhadap hadith palsu dan daif tentang amalan-amalan khusus pada malam nisfu Sya'baan (1) Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra:
(Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar) ULASAN : Hadis ini adalah maudhu’, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.
(2) Hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar ra :
(Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah Maudhu’.
(Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). ULASAN : Imam al-Daruqutni pula meriwayatkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun terkenal sebagai pembuat hadis.
(3) Hadith yang diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata:
(Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya). ULASAN :Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini dengan maudhu’.
Hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih.
Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit, pasti Rasulullah saw akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.
Ulasan tokoh-tokoh Hadith
Al-Hafiz al-Iraqi berkata:
(Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah maudhu’, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah saw. al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’:
Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama).
(Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14). Syiekh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata:
(Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah dhaif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah maudhu’ seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu).
(Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).
Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya:
(Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah).
(Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya). (Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)
Para ulama muktabar lain seperti Syiekh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusyi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khas pada malam Nisfu Syaaban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadis-hadis yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khas yang perlu dilakukan.
Maka sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadis atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al- Suyuti:
(Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah).
(Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)
Sumber : http://ibnu-qayyim.blogspot.com/

Nilai Sebuah Sumpah...

Pemuda ini masih muda. Tetapi dia telah memilih untuk memulakan usia mudanya dengan satu lakaran sejarah. Mungkin ada yang akan menggelarnya dengan gelaran-gelaran yang pelbagai selepas ini. Apa-apa pun itu hak dia. Dia kata dia nak mengembalikan maruahnya. Dia nak tegakkan hak. Ucapan sumpahnya memang satu yang cukup berani.
“Pada hari ini, saya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dengan nama Allah berikrar dan bersumpah, diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008. Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat.”
Saya kagum dengan orang-orang yang berani. Tapi berani jenis ini, saya tak pasti samada saya perlu kagumi atau tak. Dia mungkin berani kerana ada orang alim yang menasihatkannya demikian. Orang alim tu minta kedua-dua yang menuduh dan tertuduh bersumpah agar turun laknat ke atas pendusta. Mungkin silibus yang dia belajar dulu macam tu.
Yang saya belajar dulu tentang kaedah pendakwaan dalam Islam lain sikit. Orang yang mendakwa perlu mendatangkan bukti samada saksi, keterangan dan sebagainya (Al-Bayyinah ala al-mudda’ie). Jika tidak ada bukti, ulama’ khilaf tentang kaedah sumpah; iaitu samada perlu atau tidak orang yang dituduh bersumpah bahawa dia tidak bersalah (Al-yamin ala man ankara). Ada yang kata bahawa dia perlu bersumpah dan kalau dia enggan, maka dia dikira salah. Ada ulama’ yang memasukkan keengganan bersumpan (An-Nukul anil yamin) sebagai bukti. Tetapi ada ulama’ yang tidak menganggap keengganan bersumpah sebagai bukti untuk mensabitkan kesalahan.
Ketika dakwaan surat palsu dikenakan ke atas Saidina Osman r.a. oleh para pemberontak Mesir, Kufah dan Basrah, Saidina Osman r.a. meminta dari mereka dua orang saksi. Jika tiada maka dia akan bersumpah bahawa dia tidak melakukannya katanya. Begitulah praktik Islam di dalam bab murafaat.
Kalau setiap kali berlaku pendakwaan, pendakwa dan yang didakwa perlu bersumpah mahkamah Islam pasti akan jadi bahan tawa orang lain. Pendakwaan tidak akan sabit dengan sumpah. Sumpah hanya untuk tertuduh membersihkan diri setelah proses meneliti bukti yang didatangkan menemui jalan buntu. Dalam kes pemuda berani ini sebenarnya sumpah yang dilakukan adalah amat ganjil; dia yang mendakwa dan dia yang bersumpah. Apa nilai sumpah sebegini dalam pendakwaan? Kosong dan tidak mensabitkan apa-apa. Kerja sia-sia (saya baik sikit dari orang lain yang kata kerja bodoh).
Mungkin orang alim tu berdalilkan ayat 61 dari surah Aali Imran. Dalam ayat tu memang ada menceritakan tentang sumpah laknat (mubahalah). Allah berfirman yang maksudnya:
“Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.
Ayat ini menceritakan tentang Kristian Najran di zaman Rasulullah s.a.w. yang suka berdebat dengan orang Islam tentang ketuhanan Isa a.s. Jalan terakhir adalah panggil mereka untuk bersumpah laknat. Nak kiaskan ayat ini dengan prosedur pendakwaan adalah qias maal fariq. Kias jenis ini tidak boleh digunakan, begitulah yang saya belajar. Jadi ayat ni tidak boleh digunakan sebagai dalil dalam bab sumpah si pemuda berani tersebut.
Sumpah dalam pendakwaan boleh dipakai dalam kes li’an (suami menuduh isteri berzina). Dalam kes pendakwan lain saya tak pernah jumpa. Allah berfirman dalam surah An-Nur ayat 6-9 yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): “Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.” Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta. Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): “Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.”
Ayat ini turun kepada Hilal bin Umayyah yang menuduh isterinya berzina. Allah memberikan jalan keluar kepada suami yang menuduh isterinya berzina tetapi tidak ada bukti (bukti zina adalah empat orang saksi). Jalan keluar tersebut adalah dengan cara bersumpah mengikut prosedur yang diterangkan dalam ayat. Kalau kedua-dua bersumpah, maka isteri akan terlepas dari dikenakan hukuman rejam sampai mati (hudud untuk zina) dan kedua-dua akan dipisahkan selama-lamanya (bainunah kubra). Hukum ini adalah khas untuk suami isteri sahaja. Antara hikmahnya adalah kerana suami yang menuduh isterinya curang tidak akan mampu untuk hidup dengan isterinya. Nak datangkan empat orang saksi pula bukan mudah. Nak suruh isteri mengaku lagi susah. Allah menyebut pada ayat 10 selepas menerangkan prosedur li’an:
“Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah kamu akan) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi).”
Kepada pemuda berani tersebut saya nasihatkan agar jJangan main-main dengan sumpah. Kalau orang dakwa kita dengan apa-apa juga tuduhan, minta dia datangkan bukti. Tak perlu bersumpah. Kalau kita nak dakwa orang apatah lagi. Kalau tuduhan itu betul, tindakannya bersumpah masih lagi tidak wajar. Kalau tuduhan itu tidak betul, saya doakan moga-moga Allah mengampunkan dosanya dan tidak menurunkan laknat ke atasnya walau pun dia nampak bersungguh-sungguh meminta laknat tersebut. ------ Mohamad Fauzi Asmuni Kiriman dgn izin penulis.. Link asal - http://satuperkongsian.wordpress.com/2008/08/17/nilai-sebuah-sumpah/

Thursday, August 14, 2008

Hadis Palsu Rejab, Sya’aban

Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.
Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.
Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.
Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.
Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir:
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).“Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).
Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.
Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya.
Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.
Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).
Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.
Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut:
لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجْ النَّارَ
“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.” Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).
Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram.
Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)
Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis:
رجب شهر الله، وشعبان شهري، ورمضان شهر أمتي
“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.”
Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).
Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi).
Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.
Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)
Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut.
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.
Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).
Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).
Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.
Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah:
يَطَّلِعُ اللهُ إلَى خَلْقِهِ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمْيْعِ خَلْقِهِ إلاَّ لِمُشْرِكٍ أوْ مُشَاحِنٍ
“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.
Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”
Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.
Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.
Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.
Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru, Hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.
Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.
Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.
Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”
Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.
Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.
Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).
Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.
Sumber: http://drmaza.com

Tuesday, August 12, 2008

Hadith Mauquf' dan Marfu'

Hadith Marfu' (الحديث المرفوع)

Ialah hadith yang disandarkan kepada Nabi saw. Ia perlu dilihat kepada sanad hadith tersebut apakah ia sahih ataupun tidak.

Hadith Mauquf (الحديث الموقوف)

ialah hadith yang disandarkan kepada sahabat Nabi saw. Dinamakan Mauquf kerana periwayatannya terhenti setakat sahabat, dan tidak kepada Nabi saw. Ia dinamakan hadith kerana sangkaan barangkali sahabat itu mendengarnya dari Nabi saw. Ia juga perlu dinilai terlebih dahulu kesahihan benarkah ia datang dari sahabat. Setelah dipasti kebenarannya, maka ia pula terbahagi kepada dua :

Pertama : Hadith mauquf yang ada bukti yang cukup untuk mendakwanya datang dari Nabi saw. Bukti-bukti tersebut ialah :

1- Hadith tersebut menyebut perkara-perkara tauqifi (توقيفي)yang tidak ada ruang untuk akal memikirkannya. Seperti penentuan waktu solat, kadar zakat, penjelasan tentang sebab turunnya ayat al-Quran, perkara-perkara yang akan berlaku pada masa akan datang, hal-ehwal akhirat. Sebagai contoh perkataan Ibn 'Abbad r.a. :

Maksudnya : "(orang-orang Muslimin) benar-benar akan menghiasi (masjid-masjid) mereka, sepertimana orang-orang Yahudi dan Nasrani menghiasinya (tempat ibdat mereka)." (al-Bukhari) Hadith ini walaupun ia hanya terhenti setakat Ibn 'Abbas, Namun ia dihukumkan sebagai marfu' kepada Nabi saw, kerana mustahil sahabat Nabi mereka-reka cerita tentang peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang melainkan ia benar-benar mendengarnya dari Nabi saw.

2- Perkataan sahabat yang mengatakan : "Adalah kami dahulu melakukan perkara itu di zaman Nabi saw" atau apa perkataan yang seumpama dengannya. Jika hadith mauquf itu mengandungi perkataan sebegini maka dia hukumkan sebagai marfu', kerana hadith ini menunjukkan perkara itu dilakukan berulang-ulang. Maka mustahil perkara yang berlaku berulang-ulang tidak sampai kep pengetahuan Nabi saw. Apabila perkara itu menunjukkan ianya sampai ke pengetahuan Nabi saw, namun baginda tidak mengingkarinya, ia menunjukkan adanya pengakuanatau persetujuan dari baginda. Maka ia adalah sebahagian daripada sunnah. Sebagai contoh hadith dari Jabir katanya yang bermaksud :

"Adalah kami (di zaman Nabi saw) Na'zil (نعزل - mengeluarkan air mani di luar faraj isteri), sedang (ketika itu zaman) al-Quran diturunkan." (al-Bukhari)

3- Perkataan sahabat : Kami diperintahkan untuk melakukan perkara itu... atau Kami dilarang dari perkara itu... atau sahabat mengatakan Daripada sunnah begitu dan begitu... Contohnya Mus'ab bin Amir berkata : "Aku bersebahyang disebelah bapa ku (sahabat Nabi saw), lalu aku meletakkan dua tanganku diantara dua peha. Lalu bapaku melarangku dan berkata : Kami juga dahulu melakukannya, lalu kami dilarang melakukannya dan kami diperintahkan untuk meletakkan dua tangan diatas lutut (ketika rukuk)"

Kedua : Hadith mauquf yang membicarakan perkara yang ada ruang untuk akal memikirkannya. mungkin perkataan sahabat itu adalah pendapatnya sahaja, bukan dari Nabi saw. Maka ini tidak boleh dijadikan hujah.

wallahu a'lam.

http://al-qayyim.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=416

Mengenali Hadith Mawdhu’ (Palsu)

Hadith-hadith Mawdhu’ itu dapat dikenali pada sanadnya dan juga pada matannya. Di antara ciri-cirinya yang utama ialah:


1. Pengakuan yang dibuat oleh pembuat hadith itu sendiri

Umpamanya seperti yang diakui sendiri oleh Abdul Karim bin Abu Al-Auja’, Maisarah bin Abdul Rabbih dan Nuh bin Abi Maryam.


2. Perawinya terkenal pembohong

Sedangkan Hadith yang diriwayatkan tidak diriwayatkan oleh perawi lain yang tsiqah (dipercayai).


3. Bertentangan dengan kenyataan (fakta) sejarah

Umpamanya seorang perawi meriwayatkan sebuah hadith dari seorang guru, yang menurut kenyataan ia tidak pernah menemui guru itu, atau ia dilahirkan sesudah guru yang dikatakan itu meninggal dunia, ataupun ia tidak pernah datang berguru dengan guru tersebut.

Ma’mun bin Ahmad Al-Harawi mendakwa ada mendengar hadith dari Hisyam bin ‘Amman kekanda kepada Ibn Hibban, maka Ibn Hibban bertanya:

“Bilakah engkau ke kota Syam?” Ma’mun menjawab: “Pada tahun 250H.” Mendengar itu Ibn Hibban berkata: “Hisyam meninggal dunia pada tahun 245H.”

Termasuk dalam golongan ini ialah orang-orang yang mengaku sebagai sahabat Nabi dan mendengar hadith-hadith Nabi dari Nabi SAW atau dari sahabat-sahabat Nabi SAW, padahal mereka hidup ratusan tahun setelah Nabi SAW dan para sahabat meninggal dunia.


4. Motif yang mendorong membuat hadith palsu itu

Sebenarnya ada motif dan tujuan yang tertentu yang mendorong orang membuat hadith-hadith palsu itu, seperti politik, fanatik golongan, fanatik mazhab, kerana membodek raja, kerana mencari rezeki atau sebagainya.

Contoh-contohnya:

"Bubur Harisah itu akan menguatkan belakang."

Hadith ini dibuat oleh Muhammad bin al-Hajjah Al-Lakhmi, seorang penjual bubur Harisah untuk melariskan buburnya itu.

"Aku beriman kepada Jibril di sisi Ka ‘bah, maka Ia mengeraskan bacaan."

Hadith ini dibuat untuk mempertahankan pendapat dalam mazhab Syafi’e yang mengatakan Bismillah adalah salah satu ayat dari surah al-Fatihah yang wajib dibaca dengan suara keras dalam solat Jahriyyah.

Apa yang telah lalu disebutkan ialah mengenai ciri-ciri Hadith Mawdhu’ pada sanadnya. Selain itu Hadith Mawdhu’ dapat diketahui melalui matannya, iaitu:

1. Perkataan dan ayat-ayatnya sangat jelek dan janggal

2. Kerosakan maknanya:

(a) Berlawanan dengan perkara yang mudah diketahui oleh akal dan tak dapat pula dita’wil

Contoh: "Bahawasanya bahtera Nuh bertawaf di Baitullah selama 7 hari dan bersolat 2 rakaat di Maqam Ibrahim."


(b) Berlawanan dengan hukum akal mengenai Allah. Akal menetapkan bahawa Allah suci daripada menyerupai makhluk

Seperti hadith:

"Bahawasanya Allah menciptakan kuda lalu dipacunya kuda itu hingga berpeluh, maka Ia menciptakan dirinya dari kuda itu."

"Allah mengadu sakit mata, maka para Malaikat datang melawatnya."


(c) Berlawanan dengan ilmu kedoktoran

Contoh: "Buah terung itu adalah penawar bagi segala penyakit."


(d) Mengandungi dongeng yang tidak diterima akal

Seperti hadith: "Ayam putih itu adalahku dan kekasih bagi kekasihku Jibril."


(e) Bertentangan dengan kenyataan dan ilmu

Seperti hadith:

"Bahawasanya Qaf itu adalah sebuah bukit dari permata zamrud hijau yang mengelilingi dunia bagaikan tembok mengelilingi kebun dan bahu-bahu langit terletak di atasnya."

"Bahawasanya bumi ini di atas batu hampar dan batu hampar di atas tanduk lembu, maka apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya bergeraklah batu hampar itu."

Al-Imam Ar-Razi berkata:

"Semua hadith yang kau dapatinya bertentangan dengan akal, berlawanan dengan dasar-dasar agama dan berlainan dengan yang dinukilkan dari Nabi, maka ketahuilah bahawa itu adalah Hadith Mawdhu’."


(f) Menyalahi keterangan Al-Quran yang qathi’e dan tidak pula dapat dita’wilkan

Contoh: "Anak zina tidak akan memasuki Syurga sampai 7 keturunan."

Hadith ini bertentangan dengan Al-Quran:

"Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain." (Al-An'am: 64)


(g) Menyalahi Hadith Mutawatir

Contoh: "Apabila diriwayatkan kepada kamu sebuah hadith yang sesuai dengan kebenaran, maka ambillah dia sama ada saya mengkhabarkannya ataupun tidak."

Hadith ini bertentangan dengan Hadith Mutawatir:

"Barangsiapa yang berdusta terhadapku dengan sengaja maka bersedialah mengambil tempatnya dari Neraka." (Hadith Muttafaq ‘Alaih dan Hadith ini adalah Mutawatir)


(h) Menyalahi kaedah umum yang diambil dari al-Quran dan Sunnah

Contoh: "Barangsiapa yang dilahirkan untuknya seorang bayi lelaki lalu diberi nama Muhammad, maka dia dan anaknya di dalam Syurga."

Ini bertentangan dengan kaedah umum, iaitu masuk Syurga mesti melalui amal soleh, bukan semata-mata kerana nama atau gelaran belaka.


(i) Menyalahi kenyataan sejarah yang memang sudah terkenal pada zaman Nabi SAW

Umpamanya hadith yang menerangkan bahawa Nabi SAW memberatkan jizyah atas penduduk-penduduk Khaibar dengan disaksikan oleh Sa’ad dan dituliskan oleh Abu Sufyan, pada hal menurut riwayat yang benar bahawa jizyah itu belum lagi dikenakan pada waktu itu. Ia baru dikenakan sesudah peperangan Tabuk. Sa’ad meninggal sebelum itu pada tahun peperangan Khandak dan Abu Sufyan memeluk Islam setelah pembukaan kota Makkah.


(j) Hadith yang sesuai benar dengan mazhab yang dipegang oleh perawinya dan ia pula terlalu sangat fanatik kepada mazhabnya

Misalnya hadith: Kata Ali: "Aku menyembah Allah bersama-sama Rasul-Nya sebelum lagi Dia disembah oleh seseorang dari umat ini 5 tahun atau 7 tahun."

Hadith ini diriwayatkan oleh Habbah bin Juwain yang terlalu fanatik kepada mazhab Syi’ah.


(k) Hadith yang menerangkan pahala yang sangat besar terhadap sesuatu kebajikan yang sangat kecil

Misalnya:

"Sesuap makanan yang diberikan kepada orang lapar lebih utama daripada membina 1,000 jami’ (masjid)."

"Barangsiapa mengucapkan Laa ilaha Illallah, maka Allah menjadikan untuknya seekor burung yang mempunyai 70,000 lidah dan bagi tiap-tiap lidah 70,000 bahasa yang mereka beristighfar dengannya untuknya."

"Barangsiapa bersolat Dhuha sekian rakaat, maka akan diberikan kepadanya pahala 70 orang Nabi."


(l) Hadith yang menerangkan dosa dan siksa yang sangat besar atas kesalahan yang kecil

Umpamanya: "Barangsiapa memakan bawang putih pada malam Jumaat, maka hendaklah ia masuk Neraka selama 70 tahun."


(m) Hadith yang menerangkan sesuatu urusan agama yang kalau ada semestinya diriwayatkan oleh orang ramai


Demikianlah ciri-ciri Hadith Mawdhu’ itu, dan dengan memerhatikan ciri-ciri itu, maka Hadith Mawdhu’ dapat dikenal dengan mudah.

Ar-Rabi’ mengatakan:

"Bahasawanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang bersinar seperti sinaran waktu siang dan bahawasanya di antara Hadith-hadith itu ada Hadith yang gelap seperti malam, kita mengetahuinya dengan gelap itu."

Perkataan Ar-Rabi’ ita menunjukkan, bahawa perbezaan antara Hadith Nabi dengan Hadith Palsu itu terlalu sangat jelas dan terang, dan tanda-tandanya sangat mudah diketahui, ia bagaikan malam dengan siang.

Dan Al-Imam Ibn Al-Jawzy pula berkata:

"Hadith Mungkar yakni Hadith Mawdhu’ itu menggementarkan kulit (badan) penuntut ilmu dan kebiasaannya tidak diterima oleh hati."

Allahu a'lam bisshawab



*Dipetik dari kitab Himpunan Hadith Dha'if dan Mawdhu’, susunan Drs Abdul Ghani Azmi Haji Idris

dari: http://dhanysarip.blogspot.com/2005/11/ciri-ciri-hadith-maudhu-palsu.html

Monday, August 11, 2008

Sinar Jumaat: Carilah ketenangan di masjid, surau

Tidak ada tempat lebih baik di bumi ini selain rumah-rumah Allah yang dikenali sebagai masjid ataupun surau. Ini kerana di situlah terbit segala ketenangan yang diimpikan oleh segenap insan, iaitu insan yang berusaha membentuk dirinya menjadi hamba Allah yang terbaik sepanjang hidup dengan amalan-amalan yang bersifat peribadatan hanya kepada-Nya.

Tidak ada tempat di bumi ini yang mampu menjanjikan ketenangan dan kedamaian hidup, melainkan rumah Allah. Justeru terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w. menegaskan bahawa rumah Allah menjanjikan bukan sekadar ketenangan, malah beberapa nikmat lain sebagai dorongan berbuat kebaikan.
Hal ini telah disebut menerusi hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah maksudnya: "Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid/surau), membaca kitab Allah (al-Quran) dan berdiskusi mengenainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, mereka diselubungi dengan rahmat Allah, dikelilingi dengan para Malaikat (menulis segala kebaikan mereka) dan Allah akan sentiasa mengingati mereka (kerana mereka juga mengingati-Nya)."
Segala janji yang ditaburkan oleh baginda Rasulullah dalam hadis di atas, bukanlah satu perkara retorik seperti janji-janji dalam pilihan raya, ia janji yang akan ditunaikan sendiri oleh Allah SWT, iaitu agar umat Islam menjadi umat terbaik dengan mengecapi ketenangan, kedamaian hidup, rahmat Allah serta yang paling penting mereka diingati oleh Allah selaku Pencipta manusia.
Janji-janji tersebut diberikan apabila ada di kalangan insan Muslim yang memiliki ciri-ciri kebaikan seperti membaca dan mendiskusikan al-Quran, dalam erti kata mereka bersedia untuk mengkaji isi-isi kandungannya untuk dijadikan bahan rujukan, pegangan, kefahaman menuju jalan sempurna.
Justeru, Allah SWT menegaskan bahawa golongan Muslim yang sanggup memakmurkannya rumah-Nya adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar memiliki kualiti iman yang sempurna.
Hal ini ditegaskannya menerusi ayat 18 surah at-Taubah maksudnya: "Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat Yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."
Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa keimanan yang kental, kepercayaan teguh berpegang kepada hari akhirat, melaksanakan tugas utama dengan bersolat, mengeluarkan zakat serta takut hanya kepada Allah dan tidak yang lain selain-Nya, adalah senjata utama bagi mengekalkan seseorang yang beriman itu menjadi pemakmur rumah Allah yang setia.
Di mana remaja dalam hal ini?
Remaja Muslim pada hari ini lebih tersohor dengan kumpulan 'mat/minah rempit', menjadi golongan yang suka membuang masa seperti terlibat dalam budaya lepak di sana sini, terlibat dengan program-program hiburan melampau, menjadi penyokong kelab bola sepak negeri dan bermacam-macam lagi.
Remaja Muslim hari ini tidak berusaha meningkatkan prestasi kefahaman mereka dengan Islam, sehingga sanggup menjadi golongan penagih dadah, golongan perosak agama dengan penampilan yang tidak sama sekali memperlihatkan 'Islamik', malah ada ketikanya memalukan Islam itu sendiri.
Ada di antara mereka sanggup menjadi golongan yang membuat angkara terhadap program-program masjid, dengan bertindak liar menghalang mereka yang mahu ke masjid atau surau, atau pun terdapat di kalangan mereka yang bersukan berhampiran dengan masjid, tetapi tidak mengendahkan azan yang berkumandang pada waktu Maghrib, berhenti apabila ada teguran daripada pihak tertentu.
Inilah yang dikatakan tindakan bagaikan meroboh masjid, banyak pihak merasa bimbang dengan tindakan seumpama itu, apatah jika tindakan itu boleh dikaitkan dengan firman Allah menerusi ayat 114 surah al-Baqarah yang membawa maksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara apa mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."
Itu semua tidak melambangkan mereka hidup dengan Islam secara serius, malah hala tuju hidup mereka pun masih kabur, justeru apa yang amat diharapkan dari golongan remaja muslim ini adalah tercetus rasa kesedaran yang amat mendalam terhadap Islam, di ketika Islam diinjak, difitnah, dimahkamahkan, dituduh dengan pelbagai pendekatan negatif, oleh itu remaja seluruhnya disaran agar menjadi remaja seperti yang pernah disebut oleh al-Quran dengan istilah 'Ashabul Kahfi' dan 'Ashabul Ukhdud'.
Ketahuilah bahawa pada usia remaja ini juga tidak akan terlepas daripada dibuat perhitungan di sisi Allah pada hari akhirat. Ia pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang bermaksud: "Sebelum kedua-kedua kaki anak Adam (manusia) tergelincir untuk dimasukkan dalam syurga atau pun neraka, maka dia akan ditanya dengan empat perkara: Waktu remajanya apa yang telah dia habiskan, seluruh umurnya apa yang telah dibuat (untuk kebaikan dirinya), tentang hartanya daripada mana sumber ia diperolehi dan bagaimana pula ia dibelanjakan, tentang ilmunya, apa yang telah dia lakukan." (Hadis riwayat Mu'az Bin Jabal).
Remaja hari perlu mencontohi remaja-remaja silam khususnya di kalangan para sahabat dan lain-lain, mereka juga ada perasaan untuk bersuka-ria, rasa nak 'enjoy', tetapi semuanya dikekang kerana ia tidak memberi apa-apa kepada Islam, justeru remaja hari ini juga perlu mentelaah sejarah itu untuk mengembalikan keyakinan diri dengan Islam. - lanh _

Konsep agama: Ambil pengajaran Israk dan Mikraj

Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Israk tidak lama lagi. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang sekali setahun dalam bulan hijriah. Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan.

Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah s.a.w. Ia juga dianggap salah satu komponen daripada 'Sirah Nabawiyyah', yang bermaksud: Sirah Nabawiyyah adalah pelaksanaan Islam secara praktikal dan contoh tepat dalam menegakkan sebuah negara Islam - Syeikh Munir Muhammad al-Ghadban / Al-Manhaj al-Haraki Li as-Sirah an-Nabawiyyah, juzuk 1, Maktabah al-Wafa', Mansoorah, Mesir ? 1986.
Ulama berselisih pendapat dalam menentukan ketetapan tarikh berlakunya peristiwa penting itu. Menurut Ibn Ishaq ia berlaku selepas 10 tahun baginda dilantik menjadi Rasul. Az-Zuhri pula berpendapat ia berlaku setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah iaitu pada bulan Rabiul Awal, sementara as-Saddi menegaskan ia berlaku pada bulan Rabiul Awal, 16 bulan sebelum baginda berhijrah. Ada pun al-Hafiz Abdul Ghani Ibn Surur al-Maqdasi berpendapat ia berlaku pada 27 Rejab sebelum penghijrahan baginda ke Madinah.
Sementara Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi pula berpendapat, bahawa riwayat mengenai peristiwa Israk dan Mikraj terdapat banyak pembohongan dan riwayat palsu yang boleh menggugat kedudukan iman Muslim, kerana peristiwa tersebut tidak berlaku pada bulan Rejab berdasarkan penjelasan al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani, di mana ia tidak berlaku pada malam 27 Rejab kerana ia tidak disokong dengan hadis-hadis Sohih atau pun kata-kata Sahabat yang Sohih.
Itulah juga pendapat Imam an-Nawawi daripada mazhab Imam as-Syafie dan Imam Abu Ishaq yang berpendapat bahawa Israk Mikraj berlaku pada malam 27 Rabiul Awal. Justeru tiada nas yang menyebut keistimewaan beramal pada hari tersebut, sama ada dengan ibadat puasa atau yang lain, kerana puasa pada hari yang tidak jelas bila berlaku peristiwa itu adalah sebahagian daripada perkara bidaah, kerana tiada nas yang jelas menyuruhnya, tetapi jika kebetulan ia jatuh pada hari Isnin atau Khamis, puasa yang dilakukan itu dibolehkan kerana Nabi sering melakukannya.1
Tetapi apa yang penting diambil iktibar daripada peritiwa itu, ialah pengajaran mengenai perjalanan baginda dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan mikraj Rasul hingga ke langit ketujuh (Sidratul Muntaha).2
Adapun berpuasa sunat pada bulan Rejab secara umumnya adalah sesuatu digalakkan berdasarkan satu hadis do'if yang disebut oleh Imam as-Suyuti daripada Ibnu Abbas, baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, dia bagaikan berpuasa satu bulan, sesiapa yang berpuasa tujuh hari, maka dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka (kerana ia telah ditutup buatnya), sesiapa yang berpuasa sepuluh hari, maka segala kejahatannya diganti dengan segala kebaikan." 3
Adakah Israk berlaku dengan roh dan jasad Nabi?
Musuh-musuh Islam terutamanya di kalangan Orientalis barat, telah meletakkan jarum-jarum mereka dalam penulisan buku-buku sejarah dan sirah baginda Rasulullah s.a.w. Ia bertujuan agar umat Islam yang membacanya akan terkeliru dengan fakta sebenar mengenai perjalanan Israk dan Mikraj.
Mereka berpendapat, bahawa peristiwa Israk dan Mikraj hanya berlaku dalam mimpi baginda, iaitu hanya dengan roh sahaja dan tidak dengan jasad sekali, itu hanya dakwaan Muhammad semata-mata.
Namun bagi para ulama pula, mereka sepakat menyatakan bahawa Israk dan Mikraj yang berlaku ke atas baginda Rasulullah s.a.w. dengan roh dan jasad sekali, tidak hanya dengan roh seperti yang didkawa oleh musuh-musuh Islam.
Ini kerana mereka berpendapat, bahawa ungkapan perkataan 'hamba-Nya' dalam ayat pertama mengenai Israk merangkumi roh dan jasad pada diri seorang insan khususnya Nabi Muhammad s.a.w., sedangkan ia berlaku hanya dengan roh sahaja adalah berdasarkan riwayat-riwayat palsu yang sengaja untuk melemahkan keperibadian Rasulullah.
Sedangkan terdapat riwayat menunjukkan bahawa baginda menerima pensyariatan ibadat solat lima waktu secara langsung daripada Allah SWT adalah dengan roh dan jasad, itulah satu-satu ibadat khusus yang diberikan Allah secara langsung kepada baginda berbeza dengan ibadat-ibadat lain.
Program masjid ke masjid menjadi ukuran hiburan baginda
Peristiwa Israk dan Mikraj berdasarkan penjelasan para ulama berlaku sebelum penghijrahan baginda ke bumi Madinah. Ia sebagai satu pendekatan Allah untuk menghiburkan Nabi-Nya yang kehilangan dua tonggak kekuatan dakwah baginda, iaitu bapa saudaranya Abu Talib dan isteri tercinta iaitu Sayidatina Khadijah.
Sebagai manusia, baginda juga merasa sedih dan pedih dengan kematian dua orang penting yang banyak berjasa dalam mengembangkan sayap-sayap Islam di Makkah, namun Allah SWT mahu baginda terus berhubung kepada-Nya dalam keadaan yang penuh dengan kesedihan dan kemurungan.
Maka Allah Yang Maha Bijaksana telah merancang satu program berbentuk keagamaan, iaitu program masjid ke masjid, iaitu daripada Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin, inilah contoh terbaik satu bentuk hiburan bagi menghilangkan perasaan gundah gulana yang dialami baginda selepas kematian dua tokoh terpenting.
Ia berlaku dalam semalaman sahaja yang menandakan bahawa Allah mampu bertindak demikian, walaupun ramai di kalangan manusia tidak mempercayainya malah menafikannya, sehingga pada waktu itu datang Abu Bakar as-Siddiq tanpa mengambil masa panjang terus mengiyakan peristiwa berkenaan.
Hasil daripada program masjid ke masjid
Yang paling penting daripada peristiwa Israk dan Mikraj, ialah baginda menerima kewajipan solat lima waktu yang dijemput Allah secara langsung di langit yang ketujuh.
Walaupun pada peringkat awal, Allah mewajibkan 50 waktu solat yang dijangkakan bahawa umatnya tidak mampu untuk melakukannya atas nasihat Nabi Musa a.s, maka baginda terus melakukan tawar menawar dengan Allah agar dikurangkan kepada jumlah yang sedikit.
Baginda berjumpa dengan Allah dengan merayu kepada-Nya supaya ia dikurangkan, dengan perasaan malu baginda tetap berjumpa Allah sehingga ia dikurangkan kepada lima waktu, itulah pengorbanan dan ingatan baginda terhadap umatnya.
terdapat di kalangan umatnya tidak berterima-kasih kepada baginda kerana sanggup meninggalkan solat fardu berkenaan, walaupun kita hanya melakukan lima waktu, tetapi diganjari dengan lima puluh pahala, berbeza dengan umat terdahulu, lima puluh waktu solat hanya diganjari satu pahala setiap solat. Inilah kelebihan kita sebagai pengikut dan umat Nabi Muhammad, tetapi mengapa masih ramai yang mengabaikan tanggungjawab ini, sedangkan solat adalh perkara pertama yang ditanya oleh Allah pada hari Qiamat, tidak yang lain.
Baginda mengimamkan solat nabi-nabi sebelum dimikraj
Baginda Nabi Muhammad s.a.w. sebelum berangkat dengan 'Buraq' untuk menuju langit ketujuh, menjadi imam solat kepada nabi-nabi terlebih dahulu, antaranya Nabi Musa a.s., ia berdasarkan sebuah hadis, di mana baginda bersabda: "Jika Musa bin Imran diutus di kalangan kamu, maka tiada sebab dia menjadi salah seorang pengikutku."
Suasana solat berjemaah yang diimamkan oleh baginda nabi Muhammad s.a.w. itu menunjukkan bahawa para nabi semuanya akur terhadap kedudukan baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah.
Mereka bersalaman antara satu sama lain sebagai tanda kesyukuran dan simbolik menyerahkan tugas kerasulan kepada Nabi Muhammad s.a.w., ia juga sebagai satu petanda betapa hubungan antara Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa begitu intim dan akrab, apatah lagi majoriti para nabi di kalangan Bani Israil yang merupakan kiblat pertama umat Islam di muka bumi ini, selain menjadi syiar agama Islam terdahulu.
Ia juga menunjukkan bahawa kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w sebagai Nabi terakhir diperakui oleh Allah, sebagaimana yang ditegaskan menerusi beberapa ayat al-Quran mengenainya.4
Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj
Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?
Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para Anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.
Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para Anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.5
Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini.
Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka.
Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.
Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas.
Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.6
1 Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, soal jawab dalam Islamonline.net 17/8/06 (Puasa pada 27 Rejab)
2 Ibid - soal jawab dalam Islamonline.net 9/7/08 (Benarkah Israk berlaku pada malam 27 Rejab.
3 Syeikh ?Atiah Saqar ? soal jawab agama di Islamonline 17/7/2007 (Puasa pada bulan Rejab)
4 Syeikh Jaafar Ahmad at-Talhawi ? soal jawab agama dalam Islamonline.net 30/8/04 (Kepimpinan baginda Rasulullah terhadap para Anbiya pada malam Israk dan Mikraj).
5_____al-Qaradawi ? soal jawab agama dalam islamonline.net 8/8/07 (Pengajaran penting daripada peristiwa penting Israk dan Mikraj).
6 _____Ibid. - lanh _

Kes umat Islam, hanya Mahkamah Syariah beri keadilan

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Hrkh) - Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS mahukan isu liwat yang dikait dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim dibawa ke mahkamah syariah dan bukannya dibicarakan di mahkamah sivil.

Beliau berkata, kes liwat yang membabitkan orang Islam adalah perkara jenayah di dalam perundangan Islam sama seperti kes zina dan lain-lain maka ianya perlu dibawa ke mahkamah syariah.
"Negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor perlu menggubal perundangan tersebut kerana melalui mahkamah syariah sahaja keadilan dapat diperolehi," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan SEAMO, RECSAM semalam.
PAS juga, tambah Dato' Seri Abdul Hadi, menolak sebarang bentuk campur tangan kuasa luar dalam penyelesiaan pertuduhan kes liwat terhadap Anwar.
"Kalau Amerika nak campur tangan, biar mereka selesaikan di Gautonama dulu" katanya.
Menurutnya lagi, pertuduhan liwat yang dikenakan terhadap Dato' Seri Anwar adalah satu kezaliman.
Ini kerana, ianya dilihat sebagai taktik Umno untuk memusnahkan masa depan politik mantan Timbalan Perdana Menteri itu.
"Kita perlu bersimpati kepada mereka yang dizalimi walaupun kepada mereka bukan dari ahli parti kita," katanya.
Tambahnya lagi, menurut Islam seseorang itu tidak bersalah selagi dia belum didapati atau berjaya dibuktikan bersalah.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Mujahid Yusuf Rawa; Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Salleh Man; Penyelaras Pilihan raya PAS Pusat di Permatang Pauh, Wan Rahim Wan Abdullah dan beberapa pemimpin PAS lain. - mks. _

Nik Aziz minta pencuri kembalikan harta orang miskin

KOTA BHARU 11 Ogos - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pencuri yang melarikan barangan kemas daripada pajak gadai Islam, Ar-Rahn cawangan Kota Bharu agar memulangkannya semula kerana mereka merampas' harta orang miskin.
Beliau yang begitu kecewa dengan kehilangan barangan kemas dianggarkan bernilai jutaan ringgit itu berkata, biarpun hanya orang yang terlalu jahat melakukannya, mereka sewajarnya turut mempunyai sedikit timbang rasa.
``Harta yang dilarikan bukan harta kami (kerajaan), tetapi harta orang miskin, mereka bawa barang cagaran untuk dapatkan sedikit wang tunai, mungkin buat belanja anak belajar, rawatan hospital atau kenduri kahwin.
``Mereka cuma perlukan RM500 atau RM1,000, tetapi kamu rompak, tolong fikirkan kesusahan mereka yang berusaha mengumpulkan wang dengan memerah keringat, bertani atau berniaga,'' katanya kepada pemberita, di sini hari ini. - Utusan